PORT DICKSON – Pemilihan masa yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor amat penting dan perkara itu akan dibincangkan UMNO dalam masa terdekat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, buat masa ini beliau masih belum ada maklumat bila PRN Johor akan diadakan.
“Kalau hendak buat pilihan raya apa yang paling penting adalah ‘timing’ (masa). Saya tiada info bila berkenaan masa (PRN) itu mereka di Johor yang ada.
“Dalam masa sehari ke dua hari ini UMNO akan bincangkan ( kewajaran mengadakan PRN Johor) dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung Parlimen Port Dickson.
Ketika ditanya sama ada UMNO dan BN akan bertanding secara solo jika PRN diadakan di Johor, Mahdzir berkata, keputusan itu sudah ada dalam fikiran dan akan dimaklumkan nanti.
Dalam pada itu, Mahdzir membidas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa ramai menteri ‘hilang’ semasa banjir melanda beberapa negeri pada Disember tahun lalu.
Beliau berkata, soal itu tidak perlu lagi dipanjangkan dan rakyat yang akan membuat penilaian tentang siapa yang berada di hadapan untuk membantu mangsa banjir.
“Cerita tentang menteri hilang ini, banyak orang hilang. Jadi tidak perlulah kita nak hurai panjang.
“Awak (Anwar) salahkan orang, orang di sebelah sana pun hilang juga. Jadi kita tidak perlu cakap pasal hilang,” katanya.
Sebelum itu, media melaporkan Anwar mendakwa ramai menteri yang hilang semasa banjir melanda beberapa negeri pada Disember lalu.
Anwar berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun di lapangan semasa banjir tetapi menteri kabinet sebaliknya. -K! ONLINE.