PETALING JAYA – Bencana banjir besar yang melanda Lembah Klang, baru-baru ini mendorong peruncit pembaikan rumah terbesar di Malaysia, MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.) menggerakkan unit tanggungjawab sosial korporat (CSR)nya, MR D.I.Y. Cares untuk tampil membantu.
Pasukan tersebut, yang melaksanakan purata 44 aktiviti CSR dan projek jangkauan komuniti setiap tahun telah mengumpulkan kit ujian kendiri Covid-19, peralatan perlindungan, sarung tangan, but getah, beg sampah, produk pembersihan rumah dan bantuan makanan untuk diagihkan kepada penduduk terjejas di Shah Alam, Klang, Hulu Langat dan Puncak Alam serta di Pahang.
Program bantuan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa rakan kongsi termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Gladius Mobile Aid dan Team x4 untuk memastikan ia sampai kepada golongan yang paling memerlukan.
Kira-kira 60 orang sukarelawan MR D.I.Y. Cares juga digerakkan ke Hulu Langat untuk membantu kakitangan MR D.I.Y. sendiri yang terjejas akibat banjir melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan keperluan lain.
Inisiatif bantuan MR D.I.Y. Cares turut diperluaskan pasukan sukarelawan mereka untuk mangsa banjir di Jelebu, Mentakab dan Sungai Lui, Kajang.
Jurucakap MR D.I.Y. berkata, sebagai perniagaan tempatan, pihaknya ingin menyokong mangsa banjir menghadapi tempoh mencabar ini dan membawakan sedikit kelegaan kepada kehidupan mereka.
“Penghargaan dan terima kasih kami ucapkan kepada pelbagai organisasi yang membantu memastikan sumbangan barangan keperluan ini sampai kepada mangsa yang paling memerlukan.
“Kami berharap mereka yang terjejas akan terus kekal kuat, bermotivasi dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan. – K! ONLINE