fbpx

KPKT usul undang-undang lebih tegas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida ketika membuat kunjungan hormat ke atas Muhammad Sanusi di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengusulkan rang undang-undang di bawah Akta Kerajaan Tempatan bagi membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan ke atas pengilang yang mengakibatkan pencemaran termasuk sumber bekalan air.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan itu dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat kelompongan dalam undang-undang sedia ada.

“KPKT maklum ada kelompongan dalam undang-undang itu dan kita memang dalam persediaan rang undang-undang untuk penguatkuasaan lebih tegas dikenakan kepada pengilang seperti ini (menjadi punca pencemaran air),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung isu pencemaran sumber bekalan air di Lembah Klang sehingga mengakibatkan kira-kira lima juta penduduk terputus bekalan air.

Terdahulu, Zuraida mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau pada masa sama berkata, gangguan bekalan air di Lembah Klang itu turut melibatkan penduduk di kira-kira 5,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang I dan Lembah Subang II.

“Saya berharap Kerajaan Negeri Selangor ambil serius kerana masalah ini kerap berulang dan boleh dikatakan berlaku hampir setiap tahun bagaikan satu ‘fiesta’ tiada air,” katanya.

Tambahnya, penyelesaian secara lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan isu pencemaran sumber bekalan air tidak lagi berlaku selepas ini.

“Kejadian ini kerap berlaku dan ia hanya menyusahkan rakyat di Selangor,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI