KUALA TERENGGANU – Pendapatan negara berasaskan produk petroleum dijangka tidak akan terjejas biarpun Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merekodkan kerugian RM21 bilion pada suku pertama tahun ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, unjuran tersebut disebabkan harga semasa minyak mental global masih pada kadar USD40 (RM165.98) setong seperti yang telah ditetapkan pada Belanjawan 2020.
“Unjuran (harga minyak mentah) tahun ini ialah USD40 setong. Ia masih lagi dalam julat itu dan kita masih boleh mencapai sasaran.
“Harga minyak (minyak) pernah jatuh sampai USD20 (RN82.99) setong tetapi sekarang ia sudah meningkat,” katanya selepas mengadakan perbincangan konsultasi Belanjawan 2021 dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di sini hari ini.
Begitupun, Tengku Zafrul mengakui defisit fiskal kewangan negara dijangka meningkat pada kadar 5.8 hingga lapan peratus berikutan pengumuman prestasi kewangan suku kedua Petronas tersebut pada Jumaat lalu.
Beliau menegaskan peningkatan defisit fiskal itu bertujuan memastikan kerajaan dapat terus melakukan perbelanjaan penting bagi membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi ekoran penularan pandemik Covid-19.
“Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan momentum pemulihan diperkukuhkan bagi melonjakkan kembali ekonomi (negara) ke landasan yang lebih mampan,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik berkata, dividen yang bakal dibayar kepada kerajaan pada tahun ini akan disemak semula ekoran prestasi semasa yang kurang memberangsangkan itu.
Sebelum itu, Petronas pada Februari lalu telah mengeluarkan kenyataan bercadang memberikan dividen tahunan sebanyak RM24 bilion kepada kerajaan. – K! ONLINE