PETALING JAYA – Minggu lepas tular di laman sosial beberapa klip video yang memaparkan kelibat harimau belang berdekatan perkampungan Orang Asli sekitar Gua Musang.
Terbaharu, penduduk kampung sekali lagi berjaya merakam klip video Pak Belang itu sekitar Pos Ber, berdekatan sebuah perkampungan Orang Asli di Gua Musang.
Menerusi perkongsian di laman IRDK Respond Team, kelibat haiwan terbabit berjaya dirakam pengguna jalan raya ketika melalui perkampungan terbabit.
Rakaman berdurasi 40 saat itu dipercayai di rakam semalam dan hanya terdapat seekor sahaja kelibat haiwan pemangsa itu berjaya dirakam.
“Di sekitar Pos Ber, Gua Musang, nampaknya banyak pos dan penempatan Orang Asli di sini sudah didatangi harimau.
“Dari Pos Bihai, Pos Balar, Pos Tuel dan sekarang Pos Ber pula, jarak dari pos ke pos ni bukan dekat, ada sehingga dua hingga lima jam, berpuluh kilometer, doakan mereka,” kata hantaran tersebut.
Pada akhir rakaman itu, kelihatan haiwan terbabit kemudiannya melarikan diri ke dalam semak berhampiran.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna bimbang dengan penebangan hutan yang berleluasa sekitar Gua Musang sekali gus menjejaskan habitat haiwan tersebut.
“Tengok harimau pun macam tak cukup makanan, bila hutan ditebang, sumber makanan dia pun tiada,” tulis Muhd Alie.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Chin Ying Peng.
“Kesian harimau, banyak hutan ditebang, tak tahu ke mana dia nak bawak diri. Nampak harimau tu macam lapar,”ujarnya.-K! ONLINE