fbpx

Inter Milan cemas sebelum menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RANOCCHIA (kiri) melakukan sepakan akrobatik untuk meledak gol penyamaan buat Inter ketika menang 3-2 ke atas Empoli awal pagi semalam. – INTER

MILAN – Juara Serie A, Inter Milan terpaksa berhempas pulas untuk meloloskan diri ke suku akhir Piala Coppa Itali selepas menewaskan Empoli 3-2 sewaktu pusingan keempat di Stadium San Siro awal pagi semalam.

Inter ketinggalan 1-2 kepada Empoli ketika aksi sudah memasuki minit ke-90 sebelum tonggak pertahanan, Andrea Ranocchia mengikat kedudukan pada masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Ketua jurulatih Inter, Simone Inzaghi tidak terkejut melihat pasukannya bergelut menewaskan Empoli dan terpaksa mengharapkan sentuhan pemain gantian, Stefano Sensi untuk meledak gol kemenangan perlawanan pada minit ke-104.

“Saya rasa hampir semua perlawanan Piala Coppa Itali pada pusingan ini berlarutan hingga ke masa tambahan. Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Empoli juga memiliki kualiti seperti pasukan hebat.

“Empoli berhak mendahului saingan tetapi pujian wajar diberikan kepada barisan pemain. Mereka bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan untuk mencari gol penya­maan walaupun ia hanya tiba pada masa kecederaan,” kata Inzaghi.

Dalam perkembangan sama, Inzaghi menjelaskan, ia hampir pasti menjadi penampilan terakhir Sensi bersama Inter apabila dia dijangka berhijrah ke Sampdoria secara pinjaman bulan ini.

“Saya serba salah dengan situasi melibatkan Sensi kerana dia bekerja keras sepanjang sesi latihan meskipun gagal mendapat minit permainan seperti yang diharapkan.

“Namun, dia membuktikan masih mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan dengan gol kemenangan kali ini.

“Sudah tentu saya sangat gembira jika dia kekal tetapi keputusan untuk berhijrah terletak di tangannya sendiri dan saya tidak akan menghalang,” jelas Inzaghi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI