SEMAKIN menyerlah dengan dunia pengacaraan, Nabila Huda tetap meletakkan kerjaya sebagai pelakon sebagai keutamaannya dalam dunia seni.
Kata pemilik nama lengkap, Nur Nabila Huda Suhaimi itu, biarpun sibuk dengan peranan sebagai pengacara program hiburan Melodi, dunia lakonan masih cinta nombor satunya.
Bakal muncul dengan filem terbaharu arahan sutradara Osman Ali berjudul Telaga Suriram, Nabila atau mesra disapa sebagai Abil memaklumkan tidak sabar melakonkan karakter seorang perempuan bisu bernama Maimon di samping pelakon hebat seperti Maya Karin, Farid Kamil dan Scha Alyahya.
HIBGLAM: Bagaimana dengan komitmen anda sebagai pengacara Melodi memandangkan akan turut sibuk dengan penggambaran filem Telaga Suriram?
NABILA HUDA: Telaga Suriram memulakan penggambaran pada 20 Januari (semalam) sehingga 10 Mac. Penggambaran di Perak, Perlis dan kemudian Kedah. Selepas itu, akan patah balik Kuala Lumpur sebab ada babak dalam air (underwater).
Saya kena balik tiap-tiap minggu. Lakonan merupakan kerjaya utama saya dan pengacaraan pula, sesuatu yang saya dalam fasa belajar. Hari Sabtu produksi akan lepaskan saya untuk balik KL dan selepas selesaikan Melodi, Isnin saya akan kembali ke set penggambaran. Memang memenatkan tapi inilah pengorbanan seorang anak seni.
Bekerja dengan Osman Ali buat pertama kali, adakah memang menjadi impian anda selama ini?
Saya memang peminat setiap karya-karya Osman Ali dan antara filem kegemaran ialah Anak Halal. Saya masih ingat lagi waktu itu usia saya dalam 20-an.
Apabila saya dapat skrip, memang tak fikir panjang. Tambah pula, arahan abang Man (panggilan untuk Osman)
Dapat pula karakter pula memang sangat saya idamkan. Selama 37 tahun hidup, ini kali pertama saya bawa karakter sebegini dan tak sabar nak tengok macam mana pengarah ‘bisukan’ saya yang banyak cakap ini. Bayangkan dialog hanya satu peratus sahaja. Kita tunggu dan lihat.
Mungkin ada karakter atau karya yang anda jadikan sebagai rujukan untuk watak Maimon dalam Telaga Suriram?
Sebenarnya, ‘roh’ Maimon masih belum masuk sepenuhnya lagi. Buat masa sekarang, saya belum tengok apa-apa rujukan cuma saya kena bayangkan sendiri bagaimana untuk jayakan watak yang saya sifatkan cukup mencabar ini.
Dari segi fizikal saya dah boleh nampak dah macam kena gelapkan sedikit tona kulit, turunkan berat badan dan tak pakai bulu mata palsu.
Sesuatu yang tidak pernah saya buat sebelum ini dalam kerjaya lakonan. Sangat-sangat berbeza dan tak sabar bekerja dengan pelakon-pelakon hebat lain dalam filem ini.
Kalau boleh dikongsikan, bila agaknya anda mendapat tawaran untuk filem ini?
Sebenarnya sejak tahun lepas cuma kita tak tahu sama ada filem ini jadi atau tidak untuk diteruskan. Cuma, beberapa minggu lalu baru saya dapat cakap semula dengan abang Man dan pihak produksi kata, dalam bulan Oktober tahun lepas filem ini memang akan menjalani penggambaran. Pelakon semua dah ‘confirm’ dan maka bermulalah penggambaran filem ini bulan ini (Januari).
Apa agaknya cabaran terbesar buat anda menjayakan watak Maimon dalam filem ini?
Maimon dirogol pada usia belasan dan berdepan trauma. Macam saya cakap tadi, tak banyak dialog. Banyak guna ekspresi muka. Tak banyak yang boleh saya kongsikan tetapi saya boleh janjikan ini akan jadi satu pengalaman yang sangat hebat buat saya dan untuk tontonan ramai.