PETALING JAYA – Seramai 161 orang pelanggan yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dikompaun selepas sebuah pub di Damansara Utama di sini diserbu polis malam tadi.
Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.
“Pemeriksaan yang dilakukan di premis itu mendapati ia padat dengan pelanggan dan tidak mengamalkan SOP penjarakan fizikal seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Tiada sebarang tangkapan atau rampasan yang dilakukan dalam serbuan tersebut namun seramai 161 individu berusia 21 hingga 54 tahun yang berada di dalam premis itu telah dikenakan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zuhairee, semakan mendapati premis berkenaan memiliki lesen operasi yang sah namun tidak mengamalkan SOP penjarakan sosial seperti yang sepatutnya. – K! ONLINE