BEIJING – Sebuah kapal perang Amerika Syarikat (AS) belayar merentasi Laut China Selatan hari ini sekali gus mengundang amaran tentera China ketika ketegangan antara dua kuasa besar dunia itu terus meruncing.
Tentera Laut AS menyatakan, kapal perang USS Benfold mempertahankan hak dan kebebasan belayar di sekitar Kepulauan Paracel selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Bagaimanapun, Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) menegaskan bahawa kapal perang itu telah memasuki perairan China secara haram.
“PLA mengerahkan tentera laut dan udaranya untuk mengesan, memantau serta memberi amaran, seterusnya mengusir kapal pemusnah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan yang menjadi laluan perdagangan global melibatkan barangan bernilai bertrilion-trilion dolar setiap tahun. Tuntutan China bertindih dengan tuntutan oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Beijing juga meminggirkan penghakiman Mahkamah Tetap Arbitrasi yang berpangkalan di The Hague, Belanda pada 2016 bahawa tuntutan China ke atas Laut China Selatan berdasarkan sejarah adalah tidak berasas.
Berbilang tentera laut Barat dengan diketuai AS, melakukan operasi kebebasan belayar di Laut China Selatan untuk menegaskan bahawa laut tersebut adalah laluan dan perairan antarabangsa. – AFP