fbpx

Menyanyi tapi boleh atau tidak ‘jadi’ penyanyi – Ajai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOMPOSER Ajai menegaskan bukan mudah untuk bergelar seorang penyanyi yang kekal relevan dalam industri muzik tanah air.

PETALING JAYA – Komposer terkenal Ajai menasihatkan agar para penyanyi masa kini terutama yang berstatus baharu agar sedar diri akan kemampuan muzik masing-masing.

Kata Ajai atau nama sebenarnya, Mohd. Faizal Maas, menyanyi bukan sekadar melontarkan lirik lagu di atas pentas dan bukan semuanya berkaitan perihal teknikal.

“Tak boleh main instrumen, jangan main instrumen. Sebab apabila seseorang itu main alat muzik, mereka perlu tahu atau mahir bermacam perkara seperti tempo, ‘feel’ dan perlu pro (pandai main muzik).

“Dah ada semua itu, baru boleh pegang instrumen. Sebab itu, sesiapa yang buat persembahan main instumen dalam pertandingan, kita ambil serius.

“Kalau bagus, bonus buat mereka, kalau tak bagus boleh jadi satu malapetaka,” katanya.

Ujar Ajai, 46, seseorang penyanyi yang ingin kekal lama dalam industri perlu ada karisma tersendiri. Menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai contoh terbaik, katanya, tak semua mempunyai bakat semula jadi seperti figura hebat berkenaan.

“Siti merupakan contoh yang baik. Tengok pengalamannya dari ‘zero to hero’,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Ajai akan menggalas peranan sebagai juri tetap di samping penyanyi nombor satu tanah air itu dalam program realiti, Big Stage 2022 yang akan memulakan siaran 6 Februari depan.

“Ramai penyanyi baharu termasuk yang bakal bertanding dalam Big Stage 2022 mampu menyanyi dengan baik, tahu nak letak nota dan sebagainya, tapi tak semua ada karisma sebagai seorang bintang.

“Karisma artistik itu tiada dan perkara tersebut merupakan satu repertoir. Sebab itu, setiap syarikat rakaman, ada jabatan atau bahagian yang menguruskan perihal A&R (Artists & Repertoire).

“A&R yang tentukan sama ada seseorang penyanyi itu boleh menyanyi tapi boleh atau tidak ‘menjadi’ seorang penyanyi.

“Karisma dan peribadi itu penting juga kalau ingin menjadi penyanyi dan juga, faktor ‘X’ yang ada dalam diri seseorang penyanyi,” kata Ajai.

Tambah pencipta lagu malar segar Percayalah itu lagi, tidak semua penyanyi yang bagus dan hebat dalam hal teknikal mempunyai masa depan cerah dalam dunia nyanyian.

“Contoh, Britney Spears dan Christina Aguilera. Christina nyanyi gila-gila tetapi populariti tetap milik Britney.

“Sebab apa? Sebab karisma Britney kuat. Dari segi artistik, perihal yang melibatkan repertoir dalam diri Britney menjadikan dia artis besar,” getusnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI