BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan mahu bercerai sehari selepas berkahwin kerana berang dengan tindakan suami menekap kek ke mukanya semasa majlis resepsi mereka, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Menurut wanita itu, dia tidak boleh memaafkan perbuatan lelaki itu yang tidak mengendahkan satu-satunya permintaannya agar tidak melakukan lawak menekap kek ke mukanya.
“Saya tidak meminta banyak daripada suami saya kecuali jangan tekap muka saya dengan kek perkahwinan. Dia memilih untuk tidak menghormati permintaan itu.
“Sebaik sahaja dia melakukan perkara itu, saya terus tegaskan kepadanya bahawa perkahwinan ini sudah berkakhir,” kata wanita tersebut.
Luahan hati pengantin baharu itu dibuat menerusi kolum mingguan sebuah majalah popular di New York.
Wanita itu juga meminta pandangan netizen sama ada sama ada dia bertindak keterlaluan kerana mahu menceraikan suaminya akibat trauma selepas kek ditekap ke mukanya di khalayak ramai.
Pengguna media sosial rata-rata memberi sokongan bahawa dia membuat keputusan tepat kerana tindakan suaminya adalah petanda wanita itu tidak dihormati dalam hubungan rumah tangga tersebut. – Agensi