LONDON – Seorang lelaki yang diperhambakan selama 40 tahun oleh bapa dan anaknya berjaya diselamatkan pihak berkuasa Britain, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Sepanjang hidupnya, mangsa yang bekerja di ladang suspek ‘dikurung’ di dalam sebuah bangsal kecil tanpa tingkap dan kemudahan bilik air.
Menurut mangsa yang dirahsiakan identitinya, dia juga disuruh melakukan kerja-kerja seperti membaiki bumbung, menurap jalan dan mengecat rumah dengan bayaran cuma £10 (RM57) sehari.
Ketika polis menyerbu bangsal tersebut, mangsa berada dalam keadaan menyedihkan dengan pihak berkuasa menggambarkan rumah anjing milik suspek adalah lebih cantik berbanding tempat tinggal lelaki itu.
Dia juga kelihatan takut-takut apabila diminta mengikut polis ke balai untuk membantu siasatan lanjut.
“Tolong jangan biarkan saya melalui pengalaman dihambakan sekali lagi,” rayunya sebelum dijelaskan oleh pihak polis tentang situasi sebenar,
Suspek, Peter Swailes mengaku salah atas tuduhan di bawah Akta Perhambaan Moden 2015 ke atas mangsa dan kini menunggu tarikh perbicaraan. – Agensi