KLANG – Seorang peniaga gerai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik berhubung kegiatan perjudian berleluasa di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, tiga bulan lalu.
Tertuduh, Aemierulrizaki Rambli, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd. Jusan.
Bapa kepada seorang anak itu didakwa secara sedar menggunakan membuat dan memulakan penghantaran jelik kegiatan judi yang tumbuh bagai cendawan di pentadbiran IPD Klang Selatan selepas pertukaran Ketua Polis Daerah (KPD) dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Hantaran itu dilakukan menerusi aplikasi Facebook miliknya di sebuah kedai makan di Jalan Pantai Redang, Sekinchan dekat sini pukul 6 petang pada 24 November tahun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) (i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya dan juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh.
Peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin memohon jaminan sebanyak RM2,000 susulan anak guamnya yang merupakan peniaga gerai makan terkesan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Anak guam saya juga sentiasa memberikan kerjasama dalam siasatan dilakukan polis dan tiada risiko melarikan diri,” jelasnya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dan sebutan semula kes pada 28 Februari depan.
Kosmo! pada 25 November lalu melaporkan Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong menafikan dakwaan seorang pemilik akaun Facebook, Aemierulrizaki Rambli mengenai kegiatan perjudian berleluasa selepas pertukaran pucuk pimpinan KPD daerah tersebut. -K!ONLINE!