SEREMBAN – Jumlah kes positif bagi kluster pendidikan Jalan Sikamat membabitkan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban (SASER) meningkat kepada 134 pelajar, sehingga tengah malam tadi.
Sumber dari edaran dalaman sekolah berkenaan menyatakan dari jumlah tersebut seramai 96 pelajar adalah dari tingkatan lima dan selebihnya iaitu 38 pelajar adalah dari Tingkatan 4.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi guru-guru dan semua anggota sokongan sekolah keputusan ujian saringan Covid-19 adalah 100 peratus negatif.
“Bagi yang pelajar positif ujian Covid-19, seramai 48 orang telah dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Tampin oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Daripada 48 pelajar tersebut, tiga orang telah disahkah sihat dan telah kembali ke sekolah semalam. Baki pelajar lain yang positif masih berada di sekolah.
“Pihak kami (sekolah) sedang menunggu arahan dari pihak KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan berkenaan lagi, keadaan adalah selamat dan terkawal dengan segala arahan berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan kes Covid-19 telah dipatuhi.
“Anak-anak juga memberikan kerjasama yang baik dalam setiap urusan. Terima kasih kepada pihak ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan sepanjang masa kami menguruskan kes penularan Covid-19 di SASER,” katanya. – K! ONLINE