Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
LUMUT – Perak II memperolehi kemenangan pertama saingan Liga Perdana musim ini dengan bergaya apabila menumpaskan Kuching FA 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dekat sini sebentar tadi.
Pertembungan dua pasukan tercorot itu menyaksikan pasukan tuan rumah lebih agresif menggempur kubu lawan sebaik wisel permainan dibunyikan.
Hasilnya, gol pertama Perak II diperolehi pada minit ke-15 apabila Khairul Asyraf Sahizah yang tidak dikawal dalam kawasan penalti merembat mengenai palang sebelum menerjah ke dalam gawang lawan.
Sebelas minit kemudian Muhammad Nazmi Ahmad pula mudah menyempurnakan bola muntah penjaga gol pelawat, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi yang menepis rembatan Muhammad Syahir Bashah.
Jaringan kedua itu hadir selepas sepakan sudut ketiga berturut-turut diperolehi Perak II yang mana dua hantaran lintang sebelum itu hampir menghasilkan gol namun kecekapan Mohd Iqbal berjaya menafikannya.
Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah tidak menunggu lama bagi menghasilkan gol ketiga apabila Muhammad Adib Abdul Ra’op melakukan sepakan lencong dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Sacha Petshi pada minit ke-49.
Pasukan pelawat bagaimanapun berjaya memperolehi jaringan menerusi Joseph Kalang Tie dengan menyempurnakan rembatan Yuki Tanigawa yang gagal ditangkap kemas Shafiq Afifi Suhaimi, pada minit ke-54.
Tiga minit kemudian, giliran Perak II menambah jaringan apabila Muhammad Adib menanduk masuk lontaran jarak jauh oleh C Suwarnaraj.
Sacha Petshi menambah derita Kuching FA apabila merembat masuk bola yang dikeluarkan pertahanan lawan daripada sepakan sudut pada minit ke-89 bagi membolehkan tuan rumah memperoleh tiga mata berharga. – K! ONLINE