SYDNEY – Kumpulan penerbangan kemanusiaan pertama menuju ke Tonga hari ini dengan membawa bekalan yang amat diperlukan selepas pulau di rantau Pasifik itu rosak teruk akibat dilanda tsunami.
“Sebuah pesawat C-17 Globemaster berlepas dari Lapangan Terbang Pangkalan Amberley sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan),” kata seorang pegawai pertahanan Australia kepada agensi berita AFP. Sebuah penerbangan bantuan Australia akan berlepas ke Tonga lewat hari yang sama.
Dalam perkembangan berkaitan, New Zealand mengesahkan bahawa sebuah pesawat C-130 Hercules miliknya juga dalam perjalanan menuju ke Tonga selepas mengalami kelewatan selama beberapa hari.
Berita dari Tonga amat terhad sejak bencana pada hujung minggu lalu itu yang merosakkan kabel telekomunikasi dasar laut.
Di Tonga pula, penduduknya bertungkus lumus membersihkan abu gunung berapi dari landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Fua’amotu untuk memudahkan pesawat membawa bantuan mendarat.
Selain pesawat, kapal perang Australia, HMAS Adelaide juga bersiap sedia untuk belayar di Brisbane.
“Adalah diharapkan kapal ini akan dapat belayar ke Tonga esok,” kata pegawai Australia berkenaan.
Kapal perang itu membawa dua helikopter Chinook, peralatan pembersihan air dan bekalan kemanusiaan tambahan. – AFP