fbpx

AS digesa rebut peluang pelaburan mega ditawarkan RCEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA – Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk memanfaatkan peluang pelaburan mega yang ditawarkan menerusi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia telah menyelesaikan pengesahan bagi menyertai RCEP dan sudah menghantar ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN di Jakarta.

Beliau berkata, Perjanjian RCEP bagi Malaysia akan berkuat kuasa pada 18 Mac depan.

“RCEP adalah salah satu pemboleh ubah untuk membantu Malaysia dan lebih 10 buah negara lain menghidupkan semula aktiviti perniagaan domestik dan antarabangsanya.

“Saya akan menggalakkan komuniti perniagaan AS untuk memanfaatkan peluang pelaburan luas yang dibentangkan oleh perjanjian perdagangan mega ini,” katanya pada ucapan pembukaan sempena mesyuarat antara Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ABC) hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Perjanjian RCEP turut disertai Australia, Brunei, Kemboja, China, Jepun, Laos, New Zealand, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Katanya, Malaysia terus terbuka dengan dasar pro-perniagaan dan pragmatik yang menyokong iklim pelaburan.

Ismail Sabri berkata, sejak sekian lama, US-ABC telah membantu memajukan agenda integrasi serantau sambil memartabatkan hubungan antara AS dan negara-negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia.

“Memandang ke hadapan, saya optimistik bahawa Malaysia akan dapat membuka laluan ke arah yang berdaya tahan dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.

Katanya, jumlah dagangan antara Malaysia dan AS meningkat 20.7 peratus pada bagi tempoh Januari hingga November 2021 kepada AS$47.35 bilion (RM198.54 bilion). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI