SEREMBAN – Kluster pendidikan turut dicatatkan di negeri ini membabitkan Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban (SASER) dalam Kluster Jalan Sikamat.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata, kluster berkenaan diumumkan secara rasmi pada 17 Januari lalu dan sehingga kini seramai 56 kes positif Covid-19 telah direkodkan dari kluster tersebut.
Menurutnya, kes bagi kluster berkenaan direkodkan dari warga sekolah yang bergejala dalam ujian saringan Covid-19.
“Individu yang dikesan positif telah di hantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Tampin bagi rawatan selanjutnya.
“Dalam kluster ini, sebanyak 227 individu telah disaring termasuklah warga sekolah serta kontak rapat bagi kluster tersebut. 171 individu negatif dan sekolah berkenaan kini ditutup bagi tujuan sanitasi,” katanya ketika dihubungi di sini tadi. – K! ONLINE