fbpx

Andrew Garfield bukan sekadar Spider-Man

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANDREW GARFIELD dijangka menerima nominasi Academy Awards disebabkan keberkesanan melakonkan watak mendiang Jonathan Larson dalam Tick, Tick… Boom!.

JIKA nama Andrew Garfield sudah sudah melekat dalam sanubari kalian hanya disebabkan karakter Spider-Man, penulis menyarankan, tolonglah tonton filem lakonannya berjudul Tick, Tick… Boom! arahan Lin-Manuel Miranda.

Buat mereka yang mengikuti rapat naratif Garfield sebagai pelakon, jejaka bukan calang-calang. Dia pernah sekali tercalon dalam acara berprestij, Academy Awards pada 2016 menerusi filem Hacksaw Ridge dan dia sememangnya seorang ‘pelakon metode’ yang kaya dengan kualiti bakat.

MENERUSI Tick, Tick…Boom! Andrew Garfield membuktikan dia sejuta kali lebih baik kualiti daripada sekadar menjadi Spider-Man yang sinonim dalam benak fikiran kebanyakan peminat.

Penulis bagaimanapun tidak menyangka, Garfield sebenarnya boleh menjadi seorang pelakon muzikal yang sangat handal. Ya, sangat handal sehingga berasakan dia bakal mendapat ganjaran selayaknya pada Oscars yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Kalau tidak menang pun, tercalon antara yang terbaik dalam kategori utama Pelakon Lelaki Terbaik sudah memadai kerana sememangnya, selepas menghabiskan masa sekitar dua jam menonton Tick, Tick… Boom!, Garfield selayaknya dijulang.

Menyentuh tentang kualiti naskhah, Lin-Manuel melunaskan tanggungjawabnya di bangku pengarah dengan penuh dedikasi dan kualiti ampuh sebagai seorang sutradara.

Memandangkan ini merupakan filem arahan debutnya, barangkali tetap ada beberapa ruang lompong yang boleh diperbaiki.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Lin-Manuel datang dari sekolah ‘broadway’ dan pendekatan yang digunakannya barangkali sedikit berbeza daripada landasan arus perdana.

PERCINTAAN antara Jonathan Larson lakonan Garfield dan teman wanitanya, Susan Wilson turut dirungkai dalam filem pertama arahan Lin-Manuel Miranda ini.

Buat penulis secara peribadi, menonton Tick, Tick… Boom! menerusi skrin televisyen umpama satu pementasan teater yang mengagumkan.

Kualiti yang terhasil oleh Li-Manuel satu perihal yang sangat hebat memandangkan dia baru pertama kali duduk di kerusi pengarah naskhah berstatus ‘layar perak’.

Syabas buat Lin-Manuel atas kerja teliti yang terkandung signatur tersendiri sebagai seorang pengarah.

Dari segi perjalanan atau plot cerita, filem ini mengisahkan tentang ‘sedikit’ cerita hidup mendiang Jonathan Larson iaitu seorang pemain dan penggiat teater muzikal unggul Amerika Syarikat.

Tak semua mengerti tentang broadway atau playwright dan untuk itu, di kaca mata kebanyakan filem ini mungkin ‘sukar masuk jarum’.

BUKAN filem sembarangan, Tick, Tick… Boom! memberikan bukti bahawa Lin-Manuel mempunyai gaya pengarahan sendiri.

Garfield sebagai Jon melahirkan kualiti persembahan paling hebat yang penulis pernah saksikan untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

Tahu yang dia memang seorang pelakon sangat berbakat tidak sekadar menjadi Spider-Man, namun tidak sangka, secara muzikal, dia juga dipinjamkan Tuhan kualiti yang luar biasa.

Lakonannya sebagai Jon cukup serba-serbi dari segi emosi, ekspresi dan penghayatan. Bukan itu sahaja, dia berdansa, bermonolog, menitiskan air mata yang menyebabkan jiwa berderau dan jari-jarinya lancar mendentingkan butang piano.

Jadi, jika Andrew Garfield tidak menerima pencalonan Oscars, memang ada sesuatu yang ‘bobrok’ pada acara tersebut.

Filem berkenaan membuatkan jiwa penulis tersentak bahawa kadang-kadang kita merasakan bahawa masa berdetik terlalu pantas sehinggakan semua yang dirancang tidak dipertemukan realiti.

Kadang-kadang juga, kita lupa bahawa dalam berasakan kita tidak cukup masa, sebenarnya kita yang sedang tertimbus dek masa.

MENONTON Tick, Tick… Boom! menerusi skrin televisyen umpama satu pementasan teater yang mengagumkan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI