WASHINGTON – Satu fenomena membimbangkan dilaporkan sedang melanda industri pekerjaan dunia yang dikenali sebagai ‘Great Resignation’ atau peletakan jawatan beramai-ramai, lapor akhbar The Indian Express, kelmarin.
Trend berhenti kerja beramai-ramai ini bermula pada 2020 apabila pandemik Covid-19 bermula dan kebanyakan syarikat menghentikan perkhidmatan pekerja bagi mengurangkan kos.
Impak daripada situasi berkenaan, pekerja sedia ada atau yang dikekalkan berdepan bebanan kerja berlebihan dan mengalami keletihan kolektif atau ‘burnout’.
Pada November tahun lepas, Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) merekodkan peletakan jawatan sehingga 4.5 juta orang disebabkan alasan sama.
Bilangan ini sepadan dengan bilangan rekod yang diperhatikan pada bulan September dan menyumbang tiga peratus daripada tenaga kerja yang berhenti kerja setiap bulan.
Anggaran menunjukkan bahawa secara keseluruhan, seramai 75.5 juta orang di AS telah meletak jawatan pada 2021.
Menurut tinjauan ResumeBuilder.com, sekitar 23 peratus daripada tenaga kerja dilaporkan akan mencari pekerjaan baharu pada 2022.
Pekerja bergaji rendah cenderung untuk meletak jawatan berbanding mereka yang bergaji lebih tinggi dengan sektor paling terjejas termasuk hospitaliti, penjagaan kesihatan, pengangkutan, pergudangan dan utiliti.
Peletakan Jawatan Beramai-ramai sebahagian besarnya didorong oleh keletihan tetapi faktor lain juga termasuk peralihan kepada bekerja dari rumah dan keinginan untuk beralih pada kerjaya lebih stabil.
Kajian Institut Perniagaan MIT Sloan mendapati bahawa syarikat penghasilan produk dan perkhidmatan berdepan risiko kehilangan pekerja lebih tinggi kerana tekanan memenuhi kehendak pelanggan semasa musim pandemik semakin berganda.
Analisis MIT juga mendapati bahawa kewujudan budaya korporat toksik adalah kunci utama dalam pertimbangan meletak jawatan dan 10 kali lebih penting berbanding tuntutan kenaikan gaji.
Menurut laporan penyelidikan daripada Projek WFH, walaupun gaji yang lebih tinggi boleh menjadi faktor besar mengekalkan pekerja namun kebanyakan individu kini lebih menghargai fleksibiliti untuk bekerja dari rumah. – Agensi