SINGAPURA – Sebuah agensi penerbitan pelancongan, Big 7 Travel memilih Singapura sebagai negara paling mesra Instagram di dunia, lapor akhbar The Straits Times, kelmarin.
Perkara tersebut didedahkan menerusi sebuah artikel yang membuat pengiraan terhadap bilangan tanda pagar yang diletakkan di media sosial.
Ini merupakan tahun keempat pengiraan tersebut dijalankan.
Dalam pada itu, Singapura dikatakan mempunyai banyak kawasan pelancongan dengan peluang untuk merakam gambar yang menarik termasuk Supertree Grove yang terletak di The Gardens by The Bay serta seni jalanan yang menarik, kaleidoskop di Haji Lane.
“Sebagai satu hab seni di Asia, kawasan di negara itu sering mengadakan pameran yang unik dan sesuai buat pengunjung untuk merakam gambar yang menarik,’’ jelas artikel itu.
Pemilihan itu dilakukan berpandukan sistem pemarkahan dengan menganalisis bilangan tanda pagar pada setiap destinasi daripada 1.5 juta penonton.
Sebanyak 50 destinasi disenaraikan mengikut daya tarikan visual dan populariti di media sosial.
Kedudukan tempat kedua pula disandang oleh Pulau Boracay di Filipina dan pPulau Oahu di Hawaii pula menduduki tempat ketiga.
Pada tahun lalu, Jepun menduduki tangga pertama manakala pada 2019 dan 2020, Sydney adalah juara.- Agensi