PONTIAN – Percubaan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disyaki memasuki negara ini melalui perairan Tanjung Piai di sini gagal apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, PATI warga Indonesia yang ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 23 tahun hingga 36 tahun.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot ronda Maritim Malaysia mengesan dua buah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Tanjung Piai.
Menurutnya, salah sebuah bot tersebut bertindak berpatah arah dengan memecut laju menuju ke perairan Indonesia.
“Bot ronda Maritim Malaysia menuju lokasi dan menemui sebuah bot kayu berwarna biru beserta enam PATI warga Indonesia iaitu tiga lelaki dan tiga wanita.
“Kesemua PATI telah ditahan di kedudukan 3.7 batu nautika barat daya Tanjung Piai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nurul Hizam berkata, hasil matlumat mendapati mereka menaiki bot kayu dari Tanjung Balai, Karimun sekitar pukul 7.30 malam untuk memasuki perairan negeri Johor.
Jelasnya, menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, tekong bot kayu yang membawa kesemua PATI itu telah bertindak melarikan diri terlebih dahulu bersama sebuah bot laju lain lalu memecut ke arah perairan Indonesia. -K! ONLINE