fbpx

Sindiket judi online manipulasi visa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kemudahan memasuki negara tanpa visa dipercayai menjadi punca Malaysia menjadi pilihan sebagai pusat operasi khususnya sindiket judi online dan penipuan.

Kelonggaran yang diberikan kerajaan itu dimanipulasi oleh sindiket bagi merekrut warga China untuk dijadikan sebagai pekerja seterusnya mengaut keuntungan jutaan ringgit dalam satu masa.

Satu sumber berkata, siasatan mendapati kebanyakan pekerja di pusat operasi judi online dan penipuan yang diberkas memiliki pas lawatan sosial.

“Pihak berkuasa percaya kedatangan warga asing ini yang memasuki negara ini sebagai pelancong diuruskan oleh sindiket.

“Risikan mendapati setibanya di Malaysia, warga asing berkenaan akan ditempatkan di pusat operasi sebagai pengendali judi online,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Menurut sumber itu, sindiket menyasarkan kaki judi dalam kalangan rakyat negara mereka dan mampu menjana pendapatan RM100,000 sehari.

Jelasnya, rata-rata pelancong warga China memasuki negara ini secara sah, tetapi mereka gagal dikesan walaupun data me­nunjukkan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Mereka menggunakan pasport dan laluan yang sah tetapi maklumat peribadi termasuk tempat tinggal (di negara ini) yang diberikan tidak betul menyebabkan mereka gagal dikesan.

“Kita tidak menolak kemungkinan kemasukan mereka dirancang oleh sindiket tertentu,” kata sumber itu.

Untuk rekod, statistik tangkapan Polis Diraja Malaysia pada tahun ini menunjukkan seramai 968 warga China ditahan setakat awal Ogos lalu kerana kesalahan judi online.

Daripada jumlah itu, Kuala Lumpur mencatatkan rekod tangkapan tertinggi iaitu seba­nyak 399 orang dan diikuti Se­langor (207), Johor (159), Sarawak (61) dan Negeri Sembilan (53).

Laporan Ketua Audit Negara pada Disember lalu menunjukkan lebih 95 peratus pelancong China dan India yang datang ke Malaysia tiada rekod keluar sejak 2016 sehingga tahun lalu.

Seramai 79,799 warga China direkodkan memasuki negara ini, namun daripada jumlah itu 76,258 pelancong negara tersebut tiada rekod keluar.

Jabatan Imigresen bagaima­napun berkata, jumlah sebenar pelancong China yang berada di Malaysia seramai 18,341 orang.

Perbezaan itu berlaku mungkin disebabkan pelancong warga China masuk menggunakan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektro­nik (eNTRI).

Sementara itu, mengulas mengenai kegiatan sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, risikan pihaknya mendapati rata-rata warga China yang ditahan memperdaya rak­yat negara sendiri.

“Mereka me­nyasarkan Hong Kong kerana tahu kaki judi negara itu membuat pertaruhan yang membolehkan sindiket kaut untung ratusan ribu ringgit setiap hari,” katanya.

Jelasnya, pergerakan warga China yang sukar dikesan selepas memasuki negara ini memberi cabaran kepada polis untuk mengenal pasti kegiatan mereka.

“Tidak menafikan ada yang memberikan alamat palsu malah semasa tempoh Perintah Kawalan Perge­rakan, nombor pasport turut dimanipulasikan.

“Ini bagi mengelak mereka dikesan pihak berkuasa sekali gus bebas untuk tinggal lebih masa di negara ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI