PETALING JAYA – Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersyukur terhadap hasil siasatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berhubung kes membabitkan dirinya.
Menurut beliau, hasil siasatan SC menunjukkan tiada kesalahan yang dilakukan oleh dirinya dalam kes pemilikan sejumlah saham.
“Saya telah dimaklumkan oleh pihak SC bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan. Oleh demikian, pihak suruhanjaya (SC) telah menutup fail inkuiri tersebut.
“Dengan itu, saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Kosmo! hari ini melaporkan SC tidak dapat membuktikan secara muktamad kewujudan terdapatnya pelanggaran undang-undang berkaitan pemilikan saham yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Kesimpulan hasil siasatan dibuat menerusi segala bukti yang telah dikumpulkan menerusi peruntukan di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).
SC pada 6 Januari 2022 memaklumkan akan memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung isu pemilikan saham olehnya.
Menurut SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan, atau atas nama penama yang diberi kuasa.
Ia menambah, Seksyen 29(a) Akta yang sama juga menetapkan bahawa semua urus niaga dalam sekuriti hendaklah hanya dilaksanakan oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama yang diberi kuasa.
Pada 11 Januari 2022 media melaporkan SPRM mengesahkan menerima aduan membabitkan salah laku dan jenayah rasuah oleh pengurusan tertinggi SC serta Ahli Lembaga Pengarahnya. – K! ONLINE