SEPANG – Pembukaan semula jambatan di pekan Dengkil di sini selepas runtuh sehingga terputus dua pada 17 Disember lalu melegakan penduduk kerana mereka tidak perlu lagi menggunakan laluan lain yang lebih jauh.
Jambatan itu adalah laluan utama penduduk untuk ke pekan Dengkil dan seterusnya ke Banting, Kuala Langat selain jalan terdekat bagi komuniti di sini untuk ke Bangi dan Semenyih.
Kemudahan itu mula dibuka kepada kenderaan sejak pukul 12 tengah hari kelmarin.
Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Melut, Lee Ping Hok, 65, berkata, penutupan jambatan itu sebelum ini menyukarkan urusan menghantar anak bongsunya ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil.
“Setelah jambatan itu ditutup, saya terpaksa menggunakan laluan yang lebih jauh sedangkan jambatan ini lebih dekat untuk ke pekan.
“Bukan sahaja menghantar anak, banyak urusan lain seperti membeli barangan rumah perlu melalui jambatan ini,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Seorang peniaga, Asman Jahar, 53, berkata, dia lega dengan pembukaan semula jambatan itu kerana sejak ditutup, hasil jualan perniagaannya berkurangan kira-kira 40 peratus.
“Saya berniaga pisang goreng dan keropok lekor di satu tapak berdekatan jambatan ini sejak 10 tahun lalu. Boleh dikatakan ramai pelanggan saya dari Salak Tinggi atau Kota Warisan. Mereka perlu melalui jambatan itu untuk datang ke sini.
“Bagaimanapun, setelah jambatan itu ditutup pada Disember tahun lalu, hasil jualan berkurangan sedikit disebabkan pelanggan kurang.
“Pelanggan kalau hendak ke pekan Dengkil, mereka terpaksa melalui jalan yang jauh, tetapi sekarang lega apabila jambatan ini dibuka semula,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan luahan hati penduduk Sepang yang terpaksa berdepan kesulitan dalam menjalani kehidupan harian apabila jambatan di pekan Dengkil yang menjadi laluan utama penduduk runtuh sekali gus ditutup bermula 17 Disember tahun lalu.
Jambatan tersebut terputus dua ekoran terdapat hakisan tanah di Sungai Langat.-K! ONLINE