fbpx

Kepulangan Ronaldo perkuatkan United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO (tiga dari kanan) sudah kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan selepas terlepas dua aksi bersama United menentang Villa sebelum ini. – AFP

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick menerima khabar gembira menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford di Stadium Komuniti Brentford awal pagi esok selepas Cristiano Ronaldo dilaporkan sudah cergas sepenuhnya.

Kapten Portugal itu terlepas dua perlawanan menentang Aston Villa dalam saingan Piala FA dan EPL minggu lalu apabila dia dikatakan mengalami kecede­raan di bahagian pinggul.

Bagaimanapun, bekas bintang Real Madrid itu dijangka kembali mengetuai jentera serangan United awal pagi esok apabila dia memuat naik gambar bersama rakan sepasukan selepas menjalani latihan.

“Saya gembira kerana beberapa pemain utama mula turun berlatih bersama pasukan. Sudah tentu kami perlukan persiapan terbaik menjelang aksi bertemu Brentford kerana mereka bukan lawan yang mudah.

“Kadang-kadang sukar untuk membuat persiapan kerana kami terpaksa berlatih dengan jumlah pemain yang ada. Situasi itu menyebabkan saya sering mengadakan perlawanan lima atau tujuh sebelah semasa sesi latihan,” kata Rangnick.

Ketiadaan Ronaldo dalam dua aksi terdahulu menimbulkan spekulasi dia tidak sebulu de­ngan pengurusnya itu selepas lantang mengkritik corak permainan ditampilkan The Red Devils.

Selain Ronaldo, penyerang, Marcus Rashford serta pemain tengah, Paul Pogba juga sudah kembali menjalani latihan, namun aksi menentang Brentford mungkin masih terlalu awal buat bintang antarabangsa Perancis itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI