ZURICH – Penyerang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo mengakui cukup teruja selepas mendapat Anugerah Khas oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Majlis Anugerah Terbaik FIFA yang berlangsung awal pagi semalam.
Sebagai rekod, pengiktirafan FIFA itu susulan kejayaan Ronaldo memecahkan rekod kepunyaan legenda Iran, Ali Daei selepas meledak 115 gol di pentas antarabangsa ketika mewakili Portugal tahun lalu.
Kata Ronaldo, anugerah tersebut cukup istimewa buat dirinya, sekali gus melonjakkan lagi motivasi untuk memberikan yang terbaik meskipun usianya kini sudah menginjak ke angka 37 pada tahun ini.
“Ini adalah penghormatan yang cukup besar dalam karier saya kerana FIFA sebagai badan induk bola sepak dunia telah mengiktiraf rekod yang saya lakukan di pentas antarabangsa selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman.
“Sudah tentu saya sangat berbangga kerana ini adalah gol-gol yang saya lakukan ketika mewakili negara tercinta, Portugal. Anugerah ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus membantu United musim ini,” katanya.
Dalam masa sama, bekas penyerang Real Madrid itu juga memberi bayangan hanya akan membuat keputusan untuk ‘menggantung but’ dalam tempoh lima tahun lagi kerana jiwanya mahu berbakti dalam sukan bola sepak antarabangsa masih lagi tinggi.
“Saya masih lagi terasa seperti pemain muda meskipun usia semakin meningkat. Jika ada yang bertanya sampai bila saya mahu bermain, mungkin empat ke lima tahun lagi dan sekarang bukanlah masa fikirkan persaraan,” katanya. – AGENSI