ZURICH – Penggempur utama Bayern Munich, Robert Lewandowski menepati ramalan selepas diiktiraf sebagai Pemain Terbaik Dunia 2021 oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Majlis Anugerah Terbaik FIFA awal pagi semalam.
Lewandowski, 34, mengharungi kempen cemerlang sepanjang musim lepas apabila mencipta rekod jaringan tertinggi sepanjang zaman dalam kemepn Bundesliga selain membantu Bayern menjulang trofi di peringkat domestik.
Susulan itu, Lewandowski berjaya menerima undian tertinggi menewaskan dua pencabar terdekat iaitu bintang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi dan ‘mesin’ gol Liverpool, Mohamed Salah.
Ia adalah satu pengiktirafan hebat buat Lewandowski kerana berjaya mempertahankan anugerah itu dan berharap dapat terus mempertingkatkan prestasi untuk membantu Bayern mencapai sasaran ditetapkan musim ini.
“Saya gembira dapat mempertahankan anugerah yang dimenangi tahun lalu dan harus diakui, dua musim lepas prestasi saya cukup konsisten. Saya tidak mahu berhenti di sini, sebaliknya terus bekerja keras agar rentak positif dapat dikekalkan untuk musim ini,” katanya.
Sementara itu, kapten skuad wanita Barcelona, Alexia Putellas ditabalkan sebagai Pemain Wanita Terbaik Dunia 2021 selepas mempamerkan prestasi konsisten bersama gergasi Sepanyol tersebut musim lepas.
Pemenang Liga Juara-Juara, Chelsea pula berjaya membolot tiga anugerah menerusi Edouard Mendy yang diiktiraf sebagai Penjaga Gol Terbaik Dunia 2021, Thomas Tuchel (Jurulatih Lelaki Terbaik Dunia 2021) dan Emma Hayes (Jurulatih Wanita Terbaik Dunia 2021). – AGENSI