KAJIAN oleh 1st National Tiger Survey menunjukkan bilangan Harimau Malaya yang direkodkan di negara ini pada tahun 2016 hingga 2018 adalah kurang daripada 200 ekor.
Berdasarkan data tersebut, ia jelas menunjukkan populasi harimau di Malaysia berada pada tahap membimbangkan dan kemungkinan jumlahnya semakin berkurangan pada tahun ini.
Kira-kira dua minggu lalu, seekor harimau belang jantan ditembak mati oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kampung Sau, Pos Bihai dekat Gua Musang.
Kejadian itu berlaku semasa anggota Perhilitan menjalankan operasi memburu seekor harimau yang membaham seorang lelaki Orang Asli suku kaum Temiar, Anek Along ,59.
Rata-rata penduduk Orang Asli di Gua Musang mendakwa, kemunculan tiga ekor harimau di perkampungan mereka baru-baru ini disebabkan oleh habitat asal mereka di Hutan Simpan Perias, Pos Bihai telah diteroka akibat kegiatan pembalakan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim semasa melawat Pos Bihai baru-baru ini.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, penerokaan kawasan hutan di Pos Bihai dilihat menimbulkan krisis antara harimau belang dan manusia terutamanya Orang Asli yang tinggal di kawasan itu.
Menurutnya, seekor harimau dewasa memerlukan kawasan rayau sama ada untuk mencari makanan atau bergerak di dalam hutan yang luas, namun kebanyakan tempat ‘permainan’ mereka kini sudah lenyap.
“Keadaan itu menyebabkan harimau akan masuk ke kawasan perkampungan Orang Asli. Penerokaan kawasan hutan simpan juga menjadikan kebanyakan sumber makanan harimau seperti rusa, kijang dan kancil semakin berkurangan.
“Justeru, tidak mustahil harimau akan masuk ke kawasan kampung Orang Asli dan melihat manusia sebagai sumber makanan mereka,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Mustafa, harimau belang merupakan spesies haiwan yang pemalu, selain jarang meninggalkan jejak apabila berada di hutan.
Katanya, bagaimanapun, keadaan kini berubah di Pos Bihai apabila binatang buas itu seolah-olah mahu menonjolkan diri di khalayak.
“Situasi ini jelas menunjukkan bahawa habitat atau kawasan rayau haiwan itu diganggu.
“Jika kegiatan penerokaan hutan di kawasan Pos Bihai ini tidak dikawal, krisis antara manusia dan harimau akan terus berterusan tanpa penghujung. Manusia pada asalnya bukan ancaman harimau kini menjadi musuh kepada binatang itu,” katanya.
Sebagai golongan yang memperjuangkan hak Orang Asli, ujarnya, JKOAK berharap agar kerajaan negeri Kelantan bertindak tegas dengan mengawal kegiatan penerokaan balak di Gua Musang.
Ujarnya, beliau tidak mahu ada lagi nyawa manusia bahkan harimau belang yang terkorban dalam krisis antara kedua-dua makhluk itu selepas ini.
“Sejujurnya, saya tidak menghalang kegiatan penerokaan, namun perlu dikawal.
“Kerajaan negeri seharusnya lebih bertanggungjawab dengan kejadian yang meragut nyawa manusia dan harimau baru-baru ini. Bukan hanya sekadar lepas tangan dan menyatakan bahawa kegiatan penerokaan hutan bukan jadi penyebab,” katanya.