fbpx

Jangan dirindu PKP macam rindu KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Sejak awal tahun ini, kesesakan lalu lintas semakin teruk pada waktu puncak. Situasi ini menyebabkan warga kota yang menggunakan kereta merungut setiap hari ketika pergi dan pulang bekerja.

Jarak perjalanan tidak sampai 40 kilometer, namun masa yang diperlukan untuk tiba di tempat kerja kadangkala hampir dua jam. Tambahan pula sekarang lalu lintas semakin sesak di plaza tol gara-gara penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang masih belum lancar.

Warga kota juga mengeluh apabila tempat letak kenderaan kini sentiasa penuh sehingga terpaksa berpusing berkali-kali mencari petak parkir.

Situasi ini sebenarnya bukan sesuatu yang aneh kerana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengekang penularan Covid-19 pada Mac 2020, warga kota telah menempuhnya setiap hari.

Cuma mungkin sudah lebih setahun ‘terkurung’ di rumah akibat PKP, kesesakan lalu lintas sudah tidak biasa lagi ditempuh. Ketika ini, hampir 100 peratus pekerja telah kembali ke pejabat setelah agak lama bekerja dari rumah. Maka, tidak hairanlah keadaan jalan raya kembali sesak.

Keadaan ini menyebabkan ada orang yang rindukan PKP semula dan buat-buat tanya mengenai PKP di media sosial. Padahal, segelintir mereka terutama orang makan gaji rindukan situasi ‘selesa’ ketika PKP.

Manakan tidak, sepanjang PKP, sebahagian besar pekerja hanya perlu bekerja dari rumah, tidak perlu kelam-kabut dan bergegas ke pejabat.

Jimat masa, jimat tenaga dan jimat petrol, malah jimat wang kerana tidak perlu mengeluarkan belanja makan minum serta bayaran lain seperti tol. Pekerja yang keluar bekerja pula tidak perlu menempuh kesesakan luar biasa kecuali ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya.

Malah, pelbagai bentuk bantuan diberikan kerajaan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19. Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula tersenyum lebar dapat mengeluaran duit i-Citra, i-Lestari dan i-Sinar.

Bagaimanapun kali ini, PKP tidak akan dan tidak boleh dilaksanakan lagi. Kita tidak mahu lebih ramai yang menjadi penganggur, cabut nyawa sendiri akibat tekanan, suami isteri bercerai dan ibu bapa terpisah dengan anak-anak angkara PKP.

Kerajaan sendiri menegaskan Malaysia tidak lagi mampu dari segi ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat jika PKP atau lockdown dilaksanakan.

Oleh itu, usah lagi disebut-sebut tentang PKP atau buat-buat rindukannya. Sama juga seperti rindukan pengeluaran wang KWSP kerana kerajaan nampaknya tetap berkeras tiada lagi pengeluaran tambahan dibenarkan.

Kata kerajaan, jika dibenarkan lagi pengeluaran duit KWSP, lebih ramai pencarum akan bersara dalam keadaan miskin. Ketika ini, hampir separuh ahli memiliki simpanan kurang RM10,000 dan 55 peratus daripada mereka adalah golongan bumiputera.

Jangan dirindukan atau dikenang lagi KWSP, takut-takut nanti kita akan terus kecewa. Usahakan cara lain untuk membangunkan semula kehidupan yang lebih baik dalam mengharungi cabaran mendatang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI