MONZA, Itali – Pasukan Renault memasang impian tinggi untuk meraih kedudukan podium buat kali pertama musim ini menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Itali yang berlangsung malam ini.
Sebagai rekod, pelumba Renault, Daniel Ricciardo hampir meraih kedudukan podium pada perlumbaan GP Belgium minggu lalu, tetapi terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat selepas gagal memintas jaguh Red Bull, Max Verstappen.
Kata Ricciardo, pasukannya bekerja keras untuk meningkatkan prestasi jentera sepanjang minggu ini dan percaya mereka semakin menghampiri prestasi yang dimiliki oleh dua pasukan utama, Red Bull dan Mercedes.
“Selepas apa yang kita pamerkan minggu lalu, pasukan tidak lagi perlu merasa malu kerana kita juga mempunyai kemampuan untuk berlumba di tahap tertinggi dan tidak mustahil boleh memintas Red Bull.
“Saya yakin jentera kami semakin kompetitif dan sasaran untuk mendapatkan kedudukan podium buat pertama kali musim ini di GP Itali adalah sesuatu yang relevan.
“Apa yang pasti, ini adalah peluang terbaik buat pasukan kerana kita sudah memiliki kepantasan tetapi hanya perlu memaksimumkan momentum tersebut sehingga ke penghujung perlumbaan,” katanya.
Renault yang diwakili oleh Ricciardo dan Esteban Ocon hanya mengumpul 59 mata bagi kategori pengeluar selepas mengharungi tujuh perlumbaan GP musim ini, jauh ketinggalan dengan pendahulu, Mercedes dengan 264 mata. – AGENSI