NEW YORK – Juara tiga kali Grand Slam, Angelique Kerber melebarkan rekod kemenangan straight-set buat kali ketiga berturut-turut, sekaligus menempah slot pusingan keempat Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Pemain kelahiran Jerman itu dilihat tidak berdepan tentangan hebat apabila mudah mengatasi pemain muda dari AS, Ann Lii dengan kemenangan straight-set 6-3, 6-4 di pusingan ketiga.
Membuat penampilan kali ke-14 berturut-turut di Terbuka AS, Kerber ketika ini belum berdepan cabaran getir selepas mencatat kemenangan straight-set ke atas Ajla Tomljanovic dan Anna-Lena Friedsam di pusingan pertama dan kedua.
Kejayaan itu adalah yang terbaik buat bekas pemain yang pernah menghuni ranking pertama dunia tersebut selepas kali terakhir dia melangkah ke pusingan keempat adalah ketika muncul juara pada tahun 2016.
“Saya gembira kerana berjaya melangkah ke pusingan keempat dan saya akan kekalkan dengan corak permainan yang sama nanti.
“Saya akui setiap pusingan pasti ada cabaran dan akan melakukan persiapan rapi,” kata pemain berusia 33 tahun tersebut.
Kerber sebelum ini tidak menyertai sebarang kejohanan selama tujuh bulan selepas mengalami kecederaan kaki. Pada pusingan keempat nanti, Kerber akan berdepan pemain AS, Jennifer Brady. – AGENSI