LONDON – Seorang wanita di Britain mengambil masa bertahun-tahun untuk mengumpulkan sebanyak 10,000 beg beli-belah, lapor laman berita Metro UK semalam.
Angela Aberdare, 55, dari Wales, menyimpan koleksi beg beli-belah tersebut dalam ruang simpanan yang dibina khas di kilang suaminya.
Wanita itu telah menyimpan beg beli-belah selama 40 tahun iaitu sejak dia berusia 11 tahun.
Minat itu muncul pada penghujung tahun 1976 ketika dia bersama keluarganya melakukan persiapan untuk menyertai acara Jubli Perak Ratu Elizabeth II.
“Orang ramai mengibarkan bendera Union Jack di mana-mana sahaja. Jadi kebanyakan kedai mengeluarkan beg beli-belah khusus bagi acara tersebut,’’ jelas Angela.
Dalam masa setahun sahaja, Angela dapat mengumpulkan sebanyak 200 beg beli-belah daripada pelbagai kedai seperti F. W. Woolworth yang telah ditutup. -Agensi