LONDON – Seorang bekas anggota tentera yang pernah bekerja di Thailand mendakwa dirinya sebagai orang paling banyak divaksin di Britain selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19 kali kelima, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Daniel Sencier, 70, diberikan dua dos vaksin Sinovac tahun lalu sebelum dia mendapat dua suntikan vaksin Moderna sekembalinya ke Britain. Dia menerima suntikan penggalak juga daripada jenis Moderna pada Isnin lepas.
Datuk dengan lima cucu itu tidak mahu merisikokan kesihatan pada usia tuanya serta bimbang vaksin diambil sebelum ini kurang berkesan berbanding yang lain.
Penulis bebas dari bandar Penrith, daerah Cumbria di Britain itu telah menerima dua suntikan vaksin ketika bekerja di Thailand pada permulaan pandemik Covid-19 dan tidak memaklumkan kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) mengenainya.
“Pada usia 70 tahun, saya tidak teragak-agak. Sebagai bekas tentera, darah saya sentiasa memerlukan vaksin.
“Saya tidak merancang untuk menjadi orang paling banyak divaksin di Britain tetapi berasa sangat selamat sekarang,’’ jelas Sencier.
Lelaki itu telah tinggal di negara Asia selama enam tahun dan pernah menulis untuk beberapa web, hotel dan hospital apabila pandemik Covid-19 bermula.
Dia menerima dua dos vaksin Sinovac pada 25 Jun dan 8 Julai tahun lalu di Hospital Antarabangsa Phyathai Two di Bangkok.
Bagaimanapun, apabila kembali ke Britain pada Julai 2021, dia mendapati laporan menyebut bahawa vaksin tersebut kurang berkesan tidak seperti yang diharapkan. – Agensi