fbpx

Maya Karin tak lagi keseorangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAYA KARIN

USAI musim panjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengekang banyak urusan, figura bermata bundar itu sedar ramai dalam kalangan kita semua, termasuk selebriti mahu segera beraktiviti bahkan dibanjiri tawaran pekerjaan.

Bersyukur, namun masa sama, aktres yang terkenal dengan sikap berhati-hati itu bertegas, jangan sesekali tamak mengejar semua tawaran dalam satu masa.

Jika sedang bekerja untuk sesebuah naskhah projek, lunaskan dahulu projek tersebut, kemudian barulah berganjak untuk peluang selanjutnya.

Maya Karin atau nama lengkapnya, Maya Karin Roelcke berkata, dalam tempoh dua bulan ini, tumpuan sepenuhnya diberikan untuk filem Telaga Suriram arahan Osman Ali.

“Saya tak buat begitu (ambil banyak ‘job’ dalam satu masa). Bagi saya, itu tidak bertanggungjawab.

“Saya jenis yang hanya akan mula te­ngok projek lain pada hari terakhir penggambaran projek semasa. Itu cara saya,” katanya tersenyum manis.

CAKNA dengan keadaan semasa dunia yang masih dibelenggu permasalahan Covid-19, Maya menasihatkan orang ramai sentiasa berjaga-jaga demi kesejahteraan diri dan orang sekeliling. – FARIZ RUSADIO

Kerja dengan Nabila Huda

Bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Farid Kamil, Nabila Huda dan Scha Alyahya, Maya sebenarnya tidak sabar untuk beraksi di layar perak, terutama dengan Nabila yang sudah lama dihitung waktu untuk bersatu di set penggambaran.

“Kali terakhir saya bekerja bawah Osman sekitar 2013. Dengan Farid saya dah biasa bekerja.

“Dengan Abil (Nabila), tidak pernah dan Telaga Suriram adalah filem pertama kami bersama. Saya tengok lakonan Abil dalam Munafik 1 dan kemudian, saya berlakon Munafik 2. Kedua-dua filem mengecap sukses.

“Saya dah lama memasang impian nak kerja dengan dia. Jadi, sekarang dah dapat ini memang tidak akan disia-siakan. Masa Osman telefon tawarkan watak kepada saya, waktu itu saya tengah sibuk dengan teater muzikal Puteri Santubong di Sarawak,” kongsinya.

Ditebak pertanyaan tentang kebimbangan dirinya melihat kes Covid-19 yang masih berleluasa dan pada masa sama, industri kreatif tidak mempunyai pilihan lain terpaksa berganjak ke hadapan, ujar Maya, hidup perlu diteruskan.

LAPAN tahun tersimpan kemas, Maya hanya berkongsi masalah anxiety yang dihidapinya selepas berdepan situasi cemas sewaktu melakukan aktiviti selam skuba di Sabah tahun lalu.

Pakai pelitup muka

“Kalau terlalu ramai orang di sesuatu tempat, pakailah pelitup muka. Cukuplah dengan ‘lockdown’ sebelum ini. Guna akal kita semua, itu sahajalah yang mampu saya cakap.

“Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sendiri cakap tidak mungkin akan buat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘lockdown’ sekali lagi,” getusnya.

Ungkap Maya lagi, perasaan takut tidak akan membuatkan kita semua keluar dari kepompong permasalahan Covid-19.

“Orang mungkin fikir saya ini berlagak dan sebagainya sebab kenyataan tersebut tapi macam saya cakap gunalah akal.

“Macam kalau kita nak melintas jalan, kita tengok kiri kanan terlebih dahulu. Sama juga dengan situasi sekarang, kita semua berjaga-jaga.” tambahnya.

Maya menasihatkan orang ramai agar terbit rasa tanggungjawab untuk menjaga diri dan orang sekeliling.

“Jangan sambil lewa konon kita tidak akan dijangkiti Covid-19 tapi pada masa sama nak berkurung dalam rumah.

“Saya tanya, sampai bila? Sampai bila tak nak ‘lintas jalan’.

“Nasihat untuk diri sendiri dan orang semua, bertanggungjawablah supaya diri sendiri tak dijangkiti dan memberi kesan kepada orang lain. Kalau asyik takut itu, takut ini, pun tak boleh juga,” katanya.

AKUI Maya, seandainya dia berdepan masalah anxiety di tempat kerja, orang ramai termasuk kru diminta untuk berhenti seketika demi meredakan masalah yang dihadapinya.

Atasi masalah anxiety

Sejak pendedahan mengenai masalah keresahan melampau atau anxiety yang dihidapi, Maya kini lega dan tidak menganggap dirinya ke­seorangan berdepan masalah berkenaan.

Bergelut dengan ‘anxiety’ yang pernah ‘bersarang’ dalam dirinya sejak lapan tahun lalu, bukan suatu perkara yang mudah untuk Maya.

Pelbagai cara dilakukan sebagai usaha untuk melawan masalah berkenaan, termasuklah melakukan aktiviti selam skuba pada tahun lalu.

“Sebelum ini saya tak pernah berkongsi mengenai masalah anxiety yang dialami tetapi sejak pulang dari Sabah, saya buat keputusan untuk berkongsi secara umum.

“Sebenarnya saya ke sana (Sabah) ketika itu untuk buat aktiviti menyelam skuba sebagai satu cara melawan anxiety.

“Tetapi berlaku dua kali insiden serangan panik dalam air yang membuatkan saya terfikir untuk akhirnya berkongsi masalah anxiety dalam Instagram,” tuturnya.

Rentetan daripada episod cemas tersebut, Pelakon Wanita Terbaik Pesta Filem Asia Pasifik ke-49 itu tidak lagi meneruskan aktiviti sukan air dan kini memilih untuk melakukan yoga yang dirasakan lebih selamat.

“Pernah juga cawan yang saya pegang hampir terlepas disebabkan tangan saya tiba-tiba menggigil.

“Ketika itu saya alami perasaan yang gementar yang sukar dikawal,” kongsinya menggulung perbualan.

MAYA juga sudah bersedia untuk berlakon sekuel ketiga filem Pontianak Harum Sundal Malam, namun menunggu kata putus daripada pengarah, Datuk Paduka Shuhaimi Baba.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI