fbpx

Sumbat 248 kg ganja mampat dalam Proton Exora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nasir (tengah) menunjukkan ganja mampat yang dirampas di dalam sebuah MPV di Jalan Cempaka Panji, Pengkalan Chepa semalam. FOTO: IHSAN JKDM KELANTAN

KOTA BHARU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 248 kilogram (kg) dadah jenis ganja mampat di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di sebuah rumah di Jalan Cempaka Panji, Pengkalan Chepa dekat sini semalam.

Kesemua dadah bernilai RM 620,000 yang diletakkan di dalam 10 guni itu dirampas pada pukul 11.30 pagi selepas Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu menjalankan intipan terhadap MPV jenis Proton Exora yang diletakkan di dalam garaj rumah tersebut.

10 guni ganja mampat yang disumbat di dalam sebuah MPV di Jalan Cempaka Panji, Pengkalan Chepa semalam. FOTO: IHSAN JKDM KELANTAN

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd. Nasir Deraman berkata, siasatan awal mendapati, kesemua dadah itu dibawa masuk secara haram melalui sempadan negara.

Menurutnya, sindiket itu menggunakan khidmat penyeludup dengan membawa masuk ganja mampat tersebut melalui jalan sungai secara berperingkat.

“Ganja mampat yang diseludup ini akan dikumpul dan disembunyikan di suatu tempat bagi memastikan pergerakan penyeludup selamat sebelum ia diedarkan di negara ini.

“Orang ramai perlu membantu JKDM bagi memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain. Selain itu, mereka dinasihatkan agar tidak membabitkan diri dengan kegiatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nasir, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI