SEPANG – Dapatan awal kajian menyeluruh impak banjir yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan, anggaran kerugian keseluruhan negara mencecah antara RM5.3 bilion dan RM6.5 bilion.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerugian tersebut meliputi tempat kediaman yang dianggarkan kerugian antara RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion serta premis perniagaan dengan anggaran antara RM500 juta hingga RM600 juta.
“Seterusnya, anggaran kerugian bagi kenderaan RM1.0 bilion hingga RM1.3 bilion, pertanian RM40.9 juta hingga RM49.9 juta, pembuatan RM800 juta hingga RM1.0 bilion serta set awam dan infrastruktur yang dianggarkan RM2.0 bilion.
“Anggaran kerugian keseluruhan ini melibatkan 50 daerah yang terjejas banjir dan ia akan dimurnikan (diperhalusi),” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pelaksanaan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dak Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 di sini hari ini.
Beliau berkata, kajian impak banjir itu penting bagi membuat anggaran sekali gus menyelaraskan dan menyesuaikan bantuan-bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat bah tersebut.
Ditanya mengenai perancangan susulan kajian tersebut, Mustapa berkata, kerja-kerja pembaikan dan bantuan-bantuan kepada mangsa telah dimulakan antaranya kediaman penduduk yang rosak dan kehilangan sepenuhnya (total lost).
“Selain itu, pinjaman tanpa faedah bagi perniagaan termasuk bantuan-bantuan lain antaranya RM1,000 kepada setiap keluarga, RM2,500 untuk perabot dan RM500 barangan elektrik,” katanya.
Berhubung HIES/BA 2022, beliau berkata, ia mula dijalankan serentak bersama Survei Perbelanjaan Isi Rumah bermula pada tahun 2014/15 dan diadakan dua kali setiap lima tahun dengan tahun ini adalah yang ke-20 dijalankan bermula Januari hingga Disember 2022. – K! ONLINE