JOHOR BAHRU – Anak Sungai Sebulong, Jalan Suka, Kampung Melayu Majidee yang dilaporkan berubah menjadi biru muda pekat, kelmarin kini sudah berubah seperti sedia kala.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, hasil pemantauan di lokasi yang mendapati keadaan air di anak sungai itu jernih seperti sebelum ini tanpa ada tanda-tanda pencemaran yang berlaku.
Katanya, tindakan yang diambil susulan laporan yang diterima pada pukul 5 petang semalam belum lagi menjumpai punca sebenar yang disyaki.
“Pasukan pemantauan masih menjalankan siasatan kerana tinjauan yang dilakukan semalam mendapati air di anak sungai itu jernih dan tidak kebiru-biruan seperti yang dilaporkan.
“Oleh itu, pasukan pemantauan akan meneruskan siasatan lapangan serta penyelusuran anak sungai bagi mengenalpasti punca-punca yang menyebabkan kejadian sebegini terjadi.
“Walaupun hasil pemantauan nampak keadaan sudah kembali macam biasa, ini tidak bermakna isu ini sudah selesai. Ini kerana dikhuatiri perkara sama akan berulang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan penduduk di Kampung Melayu Majidee dikejutkan dengan air di anak sungai terbabit berubah menjadi biru dan khuatiri mengandungi bahan kimia.-K! ONLINE