AKSI bertenaga ditampilkan oleh Johor Tigris untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 selepas menewaskan Perak Bison 2-0 dalam pertemuan semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu, Johor tampil lebih agresif apabila menang 21-11, 16-21, 21-10, sekali gus menebus kekalahan dalam empat aksi terdahulu.
Meskipun menang set pertama, namun Johor gagal menghalang kebangkitan Perak di set kedua apabila tewas 16-21, sekali gus memaksa pemenang ditentukan menerusi set penentuan.
Bagaimanapun, Johor tetap tenang selain aksi terbaik ditampilkan tekong, Muhammad Fakhrul Akmal Mohamad Nakoin dan killer, Muhammad Noraizat Mohd. Nordin memastikan pasukan dari Selatan itu menang 21-10 di set ketiga.
“Pertama sekali terima kasih kepada penyokong Johor yang sentiasa berikan sokongan kepada pasukan. Hari ini (semalam) kami agak ceria kerana kami sudah lupakan kekalahan-kekalahan sebelum ini.
“Alhamdulillah, rezeki kami untuk menang hari ini (semalam). Rancangan saya untuk pelbagaikan servis membuahkan hasil tetapi ia juga bergantung pada situasi. Apa yang penting saya serang di posisi lebih selesa,” kata Fakhrul sejurus tamat permainan.
Kemenangan tersebut pastinya memberi suntikan semangat buat skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu menjelang perlawanan akan datang seterusnya memperbaiki kedudukan mereka dalam liga.
Selepas ini, Johor bakal berdepan aksi sukar apabila dijadualkan bertemu juara bertahan, Kuala Lumpur Thunder yang turut berdepan aksi terumbang-ambing sementara Perak akan menentang Negeri Sembilan Antlers.