BIRMINGHAM – Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick berang apabila skuad kendaliannya melepaskan dua gol dalam tempoh lima minit ketika seri 2-2 menentang Aston Villa pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park awal pagi semalam.
Meskipun mendahului perlawanan 2-0 dalam tempoh lebih sejam hasil jaringan Bruno Fernandes, namun gagal untuk menghalang Villa bangkit menyamakan kedudukan menerusi Jacob Ramsey dan Philippe Coutinho.
Justeru, Rangnick menyalahkan barisan pemainnya apabila gagal menguasai permainan dalam 15 minit terakhir, sekali gus menyebabkan United berputih mata untuk membawa pulang tiga mata.
“Sudah tentu saya sangat kecewa dengan keputusan seperti ini. Sukar untuk mencari apa yang positif dalam 90 minit permainan walaupun ini adalah aksi terbaik sejak saya datang ke United.
“Kami bermain sangat baik dan berjaya mendominasi permainan pada 30 minit awal. Saya tahu aksi kami semakin baik, namun masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki lagi,” kata pengendali dari Jerman itu.
Tambah beliau, skuad The Red Devils seolah-olah sudah berpuas hati dengan kelebihan dua gol sehingga menyaksikan mereka mengendurkan sedikit serangan pada penghujung perlawanan.
“Saya tahu sukar untuk bertahan apabila ditekan tetapi kami sepatutnya lakukan lebih baik dalam 15 minit terakhir. Selain itu, pemain-pemain dilihat tidak bernafsu untuk menyerang,” ujarnya. – AGENSI