MELBOURNE – Harapan jaguh No. 1 dunia, Novak Djokovic untuk beraksi pada kejohanan Grand Slam Terbuka Australia tidak kesampaian selepas rayuannya tidak diterima oleh Mahkamah Persekutuan dalam persidangan yang berlangsung semalam.
Sebagai rekod, visa Djokovic telah dibatalkan buat kali kedua pada Jumaat lalu menggunakan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri, Alex Hawke sebelum peguam atlet kelahiran Serbia itu melakukan rayuan.
Pada persidangan tersebut, tiga hakim Mahkamah Persekutuan telah sebulat suara untuk menolak rayuan pemain berusia 34 tahun itu atas dasar kepentingan dan keselamatan rakyat Australia.
Selain daripada diarahkan keluar dari Australia secepat mungkin, keputusan itu juga menyaksikan kemungkinan Djokovic akan diharamkan untuk datang ke Australia untuk tempoh tiga tahun.
Keputusan itu juga menyaksikan Djokovic perlu membayar jumlah penuh kos guaman melibatkan kerajaan Australia.
Visa Djokovic sebelum ini telah dibatalkan buat kali pertama pada awal bulan ini sebelum mahkamah mengarahkan kerajaan untuk memberi kebenaran kepadanya menjalani sesi latihan sepanjang minggu lalu.
Sebelum ini, Djokovic berdegil untuk bersaing dalam Terbuka Australia meskipun kerajaan dan penganjur menetapkan setiap atlet diwajibkan mendapat suntikan vaksin Covid-19.
Namun, Djokovic menggunakan alasan memiliki masalah kesihatan untuk dikecualikan daripada mengambil suntikan vaksin tetapi tidak diterima oleh kerajaan Australia.
Djokovic yang telah menjuarai 20 trofi Grand Slam merupakan juara bertahan Terbuka Australia dengan mendominasi kejohanan di Melbourne buat kali ke-9 tahun lalu. – AGENSI