fbpx

Tak salah jadi pengguna ‘kedekut’ asalkan dapat berjimat cermat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

SAYA mungkin antara ribuan rakyat pekerja di Malaysia yang terkesan ekoran penularan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu. Selepas diberhentikan kerja pada awal tahun lalu, kehidupan saya berubah 360 darjah.

Sejujurnya, kehidupan kita ini tidak lari daripada masalah hutang dan apabila kehilangan kerja, bebanan itu paling dirasai. Untuk mencari kerja ketika zaman pandemik bukanlah sesuatu yang mudah.

Akhirnya, wang simpanan dan sedikit pendapatan hasil jualan kecil-kecil menjadi pertaruhan. Mungkin pada peringkat awal amat sukar, namun kesusahan itu akan menjadi kebiasaan bila kita telah berada dalam radarnya.

Perkara paling penting adalah bagaimana untuk mengimbangi kelangsungan hidup dengan kekurangan sumber pendapatan ketika ini. Menerusi beberapa bacaan dan penelitian di media sosial, ramai yang berkongsi tips untuk melalui kesukaran ini.

Asasnya ada kita perlu sedar bahawa kita tidak boleh hidup dengan cara lama.

Kita perlu menjadi ‘akauntan’ untuk menguruskan segala hal berkaitan kewangan keluarga.

Pertama, kita kurangkan perbelanjaan rumah dengan cara meminimumkan pembelian makanan dari luar. Masak lauk yang biasa-biasa tetapi cukup untuk keluarga dan anak-anak.

Langganan menerusi stesen televisyen berbayar juga perlu kurangkan. Utamakan mana yang perlu dan tolak tepi rancangan-rancangan tangkap muat.

Bil air dan elektrik juga boleh dikurangkan. Banyak cara yang dicadangkan, antaranya tidak terlalu bergantung kepada penghawa dingin.

Pendek kata, setiap apa yang kita lakukan itu adalah untuk mengurangkan pembayaran yang sia-sia.

Tidak salah menjadi kedekut, asalkan kelangsungan hidup bersama keluarga tersayang terjamin.

NORA NELLY
Sepang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI