fbpx

‘Kini semua benda sudah naik harga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN peniaga nasi lemak terpaksa menaikkan harga antara 20 sen sehingga 50 sen sebungkus. – GAMBAR HIASAN

GEORGE TOWN – Walaupun baru 16 hari memasuki tahun 2022, golongan pekerja dan peniaga mula tertekan apabila perbelanjaan harian bertambah berikutan kenaikan harga pelbagai bara­ngan dan perkhidmatan.

Tinjauan Kosmo! di sekitar negeri ini mendapati, orang ramai mengakui perbelanjaan bulanan meningkat antara RM100 hingga RM300 berikutan pertambahan harga yang didakwa bermula hujung tahun lalu dan awal bulan ini.

Harga nasi lemak bungkus meningkat kepada RM2 berban­ding RM1.80 tahun lalu, mana­kala servis mencuci kereta pandu lalu meningkat daripada RM5 kepada RM6.

Terdapat kedai makan yang didakwa mengenakan harga bagi seketul lauk ayam goreng pada harga sehingga RM6 berbanding RM4 sebelum ini.

Rata-rata pengguna mendakwa kebanyakan barang dan perkhidmatan mengalami kenaikan harga tanpa disedari kerana sebahagiannya tidak meletakkan notis atau diberitahu.

HARGA barangan mentah juga semakin meningkat mengakibatkan pengguna terpaksa mengeluarkan belanja lebih. – GAMBAR HIASAN

Seorang pekerja swasta di bandar raya ini, Azraei Ahmad, 29, berkata, biarpun masih bujang, dia tertekan kerana perlu meneruskan hidup dengan pendapatan bersih kira-kira RM3,500 yang dikatakan tidak mencukupi.

“Komitmen bulanan saya yang masih ada tahun ini seperti bayaran pelbagai pinjaman, sewa rumah, insurans dan wang untuk ibu bapa sekitar RM2,200 sebulan.

“Dalam keadaan gaji tidak meningkat, saya tetap terasa terhadap kenaikan harga barangan yang boleh dikatakan hampir semua termasuk makanan segera dan minuman di cafe popular.

“Dianggarkan pertambahan belanja bulanan saya bertambah sekitar RM200 dan ia sedikit sebanyak menjejaskan peranca­ngan kewangan saya serta cukup-cukup makan bagi individu yang tinggal di bandar besar,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, seorang pekerja sambilan, Fakrul Razak, 36, berkata, golongan berkeluarga antara yang peling terjejas apatah lagi dengan keadaan pendapatannya tidak menentu.

“Kos taska dua anak saya me­ningkat daripada RM700 kepada RM770 bulan ini selain perbelanjaan lain yang bertambah kira-kira RM200.

“Tuan rumah pun mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sewa dari RM600 sebulan kepada RM700 bagi pangsapuri di Bayan Lepas,” katanya selain mengakui perbelanjaan turut dibantu isteri yang bekerja sebagai penjawat awam.

Seorang suri rumah, Hazlinda Md. Zain, 35, berkata, perbelanjaan dapurnya bagi tiga sekeluarga meningkat sekitar RM250 hingga RM300 sebulan kepada antara RM300 hingga RM400 sejak hujung tahun lalu.

“Duit belanja sekolah anak tunggal saya pun perlu ditambah RM1 kepada RM6 sehari kerana harga makanan di kantin sekolah juga meningkat,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI