fbpx

Tukar hutan terbiar jadi kebun, kolam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANAMAN yang ditanam secara hidroponik di Projek Pondok Kebun yang diusahakan penduduk.

JOHOR BAHRU – Inisiatif sekumpulan penduduk di Presint Utama, Mutiara Rini di sini, me­ngubah lot tanah hutan terbiar kepada kebun tanaman dan ternakan sejak tahun lalu berbaloi apabila hasilnya berjaya memanfaatkan komuniti setempat.

Ketua Projek Pondok Kebun, Md. Azaly Man, 43, berkata, projek itu mampu diteruskan dengan menggunakan hasil jualan tanaman dan ternakan yang dijual kepada komuniti setempat.

Menurut beliau, pada mula­nya, projek di ta­nah berkeluasan kira-kira 0.8 hektar itu dimulakan sejak 29 Jun lalu untuk mengisi masa terluang penduduk.

“Sehingga kini, kami telah berjaya menternak 10,000 ekor anak ikan tilapia, 100 ekor ikan patin, 500 ekor ikan keli, 60 ekor ayam kampung, 150 ekor itik telur yang menghasilkan 500 biji telur.

“Selain itu, kami juga telah menanam 228 benih padi secara hidroponik, tebu, pisang, betik, manggis, rambutan, durian selain pelbagai jenis sayur-sayuran hijau,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

PENDUDUK Presint Utama, Mutiara Rini, Johor Bahru menternak ikan dan itik yang diusahakan secara bersama atas tanah hutan terbiar.

Tambah Md. Azaly, pada awalnya projek kebun itu di­usahakan sekitar 20 orang penduduk, namun kini jumlah penduduk terlibat adalah hampir 200 orang.

“Jumlah berkenaan boleh dikatakan lebih daripada 10 peratus populasi penduduk di taman ini yang seramai 1,200 orang.

“Lebih menarik, penduduk yang terlibat terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan pelbagai latar belakang, bermaksud projek ini juga mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk,” ujarnya.

Md. Azaly yang bekerja sebagai seorang konsultan landskap dan binaan turut memaklumkan, komitmen diberikan penduduk terhadap projek berkenaan berjaya mengubah kawasan yang dahulunya semak, kotor dan penuh dengan nyamuk kepada kebun yang bersih.

“Hasil yang diperoleh daripada kebun ini akan dikumpul setiap minggu untuk dijual kepada komuniti tempatan de­ngan menggunakan konsep bayaran seikhlas hati.

“Semua hasil yang diperoleh adalah perkongsian bersama ke­rana ia dibangunkan secara bersama-sama, jadi hasil jualan akan digunakan untuk pembangunan dan untuk mengekalkan Pondok Kebun ini,” katanya.

Dalam masa sama, tambah­nya, mereka juga berharap pondok kebun itu dapat memberi impak positif untuk mendidik generasi muda dalam mengenali tumbuhan, haiwan dan cara p­engendalian kebun. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI