MUMBAI – Seorang lelaki di India berdepan dengan detik-detik cemas apabila kepalanya nyaris digilis sebuah kereta api yang sedang bergerak laju selepas dia cuba berpaut pada pintu gerabak, lapor akhbar Daily Star semalam.
Dalam insiden yang dirakam menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di stesen kereta api Dadar pada 12 Januari lalu, lelaki tersebut diselamatkan dua pengawal keselamatan yang bertindak pantas.
Ketika kejadian, kakinya dilihat tersadung ketika cuba berpaut pada pintu gerabak sebuah kereta api yang sedang bergerak laju.
Dua pengawal keselamatan yang berada di kawasan kejadian bertindak pantas dengan meluru ke arah lelaki tersebut dan menariknya kembali ke platform.
“Semuanya berlaku begitu pantas. Lelaki itu memegang pintu kereta api dan berlari bermati-matian untuk menaikinya ketika ia sedang bergerak dengan pantas,’’ kata seorang saksi.
Saksi tersebut menambah, kepala mangsa juga terperosok ke bahagian bawah laluan kereta api sehingga menyebabkan semua orang yang berada di situ panik.
“Lelaki itu tidak sedarkan diri tetapi tidak cedera teruk,’’ kata saksi.
Mangsa dilaporkan telah dimasukkan ke sebuah hospital di Mumbai untuk mendapatkan rawatan lanjut. – AGENSI