MUAR – Kalau sudah rezeki, takkan ke mana. Sudah putus harapan dengan kehilangan gelang emas yang tercicir, siapa sangka pemilik menemuinya semula selepas dua tahun.
Menurut Aryanti Abdullah, 43, mereka sekeluarga menyangkakan gelang emas milik ibu itu tidak akan ditemui semula kerana sudah terlalu lama hilang sejak 2020.
“Kalau diikutkan logik akal, siapa yang mahu pulangkan gelang emas kalau terjumpa. Baik orang yang jumpa itu jual sahaja. Boleh dapat duit.
“Kami sekeluarga sudah beranggapan mungkin tiada rezeki jumpa semula apatah lagi mengharapkan orang jumpa itu memulangkannya semula.
“Tapi Alhamdulillah, kalau sudah rezeki mak memang tak ke mana. Gelang itu dijumpai oleh hamba Allah yang sangat jujur. Rezeki masih milik ibu saya rupanya,” katanya ketika ditemui di Bandar Muar di sini hari ini.
Tambah Aryanti, gelang emas bernilai kira-kira RM8,000 itu dibeli ibunya hasil titik peluh selepas berbelas tahun menoreh getah bersama bapa, Abdullah Ariffin, 70an serta hasil simpanan pemberian wang saku dari anak-anak, lima tahun lalu.
Bercerita lanjut, dia amat berterima kasih dan menghargai sifat kejujuran seorang kakitangan pakar mata di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar, Norhuda Yusof, 30an.
Terdahulu, perkongsian yang dimuatnaik di Facebook oleh kakak, Norhuda, Marina Yusof turut membantu Aryanti mengetahui mengenai penemuan gelang emas tersebut.
Ibunya pernah menjalani rawatan mata di HPSF sebelum perlaksanaan PKP dan mungkin gelang itu keciciran di sekitar bangunan dilokasi itu. -K! ONLINE