KLANG – Stigma negatif masyarakat terhadap individu mengalami kesihatan mental dan penagih membuatkan golongan berkenaan takut untuk menerima rawatan daripada pihak bertanggungjawab.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini berikutan dalam pemikiran golongan itu adalah komen keji daripada masyarakat bahawa mereka perlu ditangkap dan dipenjarakan.
“Baru ini kita tengok kes seorang remaja yang didakwa mencuri tabung masjid dan lihat cara bagaimana dia dikeji, ‘diseksa’ dan dimalukan.
“Saya tidak merasakan cara sedemikian patut dilakukan masyarakat. Begitu juga (individu) masalah mental selama ini tidak dilihat sebagai orang yang memerlukan rawatan dengan menyalahkan mereka murung dan sebagainya.
“Saya melihat pendekatan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi program GO-NGO Model KK) berjaya mengubah persepsi terhadap masyarakat terhadap mereka yang hidup dengan HIV-AIDS dan boleh digunakan kepada mereka yang berdepan masalah mental dan penagihan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu beliau melancarkan Inisiatif Mengakhiri AIDS dengan GO-NGO Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan, di Klinik Kesihatan Pandamaran, di sini hari ini.
Khairy Jamaluddin memberitahu, berdasarkan model KK 2.0 pekerja yang dahulunya dinamakan sebagai pekerja temu seru (outreach), dan pekerja kes (case worker) akan diberi penjenamaan baru iaitu Pekerja Kesihatan Komuniti (PKK) atau Community Health Worker.
Jelasnya, skop tugas PKK ini turut akan diperluaskan meliputi ketiga-tiga penyakit HIV, Hepatitis C, dan STI.
“Jika dahulu HIV dari suntikan dadah adalah 80 peratus namun kini menurun kepada satu peratus menerusi model berkenaan.
“Fokus kita adalah transmisi seksual yang menyumbang paling banyak kepada HIV ini terutama men having sex with men (MSM) dan populasi transgender (TG),” jelasnya. -K!ONLINE