RANTAU PANJANG – Tekong darat menjadikan waktu tengah hari dan senja sebagai peluang terbaik untuk mereka menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhari Nusi berkata, tekong darat beranggapan anggota yang bertugas berehat untuk makan dan menunaikan solat.
Menurutnya, jangkaan tekong darat itu silap, apabila anggota PGA tetap bertugas seperti biasa.
“Sepanjang tempoh penugasan Batalion 7 PGA, kami telah menahan 61 orang PATI warga Thailand, Myanmar dan Indonesia.
“Daripada jumlah tersebut, Thailand merupakan jumlah tangkapan paling tertinggi dicatatkan oleh Batalion 7 PGA,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -K! ONLINE