PETALING JAYA – Tular sebuah video di media sosial berkenaan seorang wanita yang terkejut apabila melihat harga parkir yang dipamerkan pada mesin mencecah sehingga ribuan ringgit
Melalui perkongsian video oleh @mummyjylo2 di laman aplikasi TikTok, wanita itu bengang apabila tempoh parkir yang digunakan hanya sejam tetapi harga yang perlu dibayar ialah sebanyak RM5,811.
Berdasarkan video berdurasi 38 saat itu, difahamkan kadar harga bagi setiap sejam adalah RM1 seperti mana yang diletakkan pada papan maklumat parkir dan kejadian berlaku di sebuah tempat letak kereta di Sentul.
“Sejam juga berurusan dengan pihak pengurusan parkir baru selesai, sampai cakap nak buat laporan baru mereka semak pada rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV).
“Kalau tidak, memang pihak mereka suruh bayar harga tersebut,” katanya.
Tambah wanita itu, selepas diperiksa semula oleh pihak pengurusan mendapati terdapat kesilapan teknikal pada mesin dan jumlah sebenar yang perlu dibayar hanya RM3 sahaja.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna media sosial memberikan pelbagai reaksi dan orang ramai meminta agar pemilik akaun tersebut mendedahkan lokasi berkenaan supaya lebih berhati-hati.
“Dia kumpul jumlah parkir semua kenderaan di situ, kemudian kira bayar secara ‘langsam’,” kata Encik Zul77.
“Dekat mana tu, saya tak sabar nak boikot tempat parkir macam itu,” kata Huzaimi Mohd.
“Itu harga parkir seumur hidup, lepas ini bole parkir mana-mana kawasan yang awak nak,” kata Suzila Rahman. – K! ONLINE