MELBOURNE – Nasib jaguh No. 1 dunia, Novak Djokovic bagai telur dihujung tanduk selepas visa miliknya telah dibatalkan kerajaan Australia awal pagi semalam sekali gus memberi kesukaran buatnya mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia yang bakal membuka tirai rasmi esok.
Sebagai rekod, pembatalan visa yang dibuat kali kedua dilakukan oleh kerajaan dengan menggunakan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri, Alex Hawke tetapi keputusan lanjut bergantung dengan rayuan yang dilakukan oleh peguam Djokovic.
“Saya telah gunakan kuasa serta amanah yang diberikan untuk membatalkan visa milik Djokovic demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat Australia,” kata Hawke yang turut mendapat kelulusan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.
Bagaimanapun, nasib Djokovic hanya akan diketahui secara rasmi hari ini apabila pembentangan dilakukan sekali lagi di mahkamah tinggi selepas rayuan dilakukan untuk membenarkan pemenang Grand Slam sebanyak 20 kali itu beraksi pada Terbuka Australia kali ini.
Pada persidangan Isnin lepas, kerajaan Australia telah ‘tewas’ apabila mahkamah memutuskan Djokovic dibebaskan daripada tahanan imigresen serta-merta selepas mendapati keputusan yang dibuat kerajaan minggu lalu sebagai ‘tidak munasabah’.
Sementara itu, Perdana Menteri Serbia, Aleksandar Vucic mengakui rakyat negaranya akan sentiasa menyokong Djokovic meskipun atlet tersebut dikritik hebat kerana tidak mengambil dos vaksin Covid-19 yang diletakkan sebagai syarat utama beraksi pada Terbuka Australia.
“Jika kamu mahu menghalang Djokovic daripada memenangi Terbuka Australia buat kali ke-10, kenapa tidak berbuat demikian sebaliknya menahannya seperti orang yang bersalah. Kami akan sentiasa berada dibelakangnya walau apa jua keadaan,” katanya. – AGENSI